Orkestra Tradisional Malaysia |
Selingan jap dari entri cuti-cuti Bali. Semalam sempat tengok Konsert Orkestra Tradisional Malaysia di Dewan Philharmonik Petronas, KLCC. Konsert ini adalah sempena KLCC Seni Festival. Ini merupakan konsert ke-2 Orkestra Tradisional Malaysia aku dapat tengok dan juga kali kedua menjejakkan kaki ke MPO. Konsert pertama masa pelancaran Orkestra Tradisional Malaysia tahun lepas.
Harga Tiket RM 48 (selepas diskaun sbb staff Petronas belikan) |
Orkestra Tradisional Malaysia menampilkan ahli muzik yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia yang mengalunkan kepelbagaian alat muzik tradisional seperti rebab, gambus, serunai, sape, erhu, gouhu, sitar, caklempong serta gamelan berpadanan dengan tema konsert ; 'Malaysian Diversity'. Drum set untuk orkestra ini juga merupakan gabungan geduk, rebana, rebana ubi dan beberapa gendang lagi yang menyerupai drum set modern. Namun begitu terdapat beberapa alat muzik modern digabungkan sekali untuk menambahkan keharmonian dan kemerduan Orkestra Tradisional Malaysia ini.
Sebelum persembahan di Dewan Filharmonik Malaysia, KLCC |
Seramai 49 pemuzik yang di ketuai oleh konduktor, Mohd Yazid Zakaria mempersembahkan 15 buah lagu yang mencakupi elemen muzik 1 Malaysia. Pilihan lagu bukan sahaja lagu-lagu tradisional, malahan lagu-lagu kontemporari termasuklah lagu-lagu dari negara luar. Persembahan dibahagikan kepada 4 segmen dan diacarakan oleh Ahmad Fedtri Yahya.
Segmen pertama dimulakan dengan Overture : Star yang menunjukkan setiap alat muzik yang dimainkan untuk OTM. Kemudian diikuti dengan lagu Teratai , Pak Ngah Balik (dinyanyikan oleh Norihan Saif), Medley Lagu Asli (Dondang Sayang, Empat Dara dan Zapin Budi) dan Mudik Arau. Lagu Mudik Arau yang merupakan lagu tradisional Negeri Sembilan disampaikan dengan duet Caklempong oleh Razzidy Abdul Razak dan Rosman Mohd Roslan. Persembahan duet mereka amat menarik kerana rentak lagu ini yang sangat laju dan cara mereka memainkan caklempong amat pantas dan menarik.
Pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia |
Untuk segmen kedua, OTM mengiringi beberapa penyanyi untuk lagu-lagu yang lebih kontemporari. jaclyn Victor menyanyikan 2 lagu iaitu 'Somewhere' dan Joget Kenangan Manis dan Iqwal menyampaikan lagu Corazon Espinado. Bagi saya untuk lagu 'Somewhere', muzik OTM sedikit tenggelam berbanding suara Jac yang sangat memukau. Walaubagaimanapun pujian harus diberikan kepada penggubah lagu ini kerana berjaya memodenkan OTM melalui lagu ini. Untuk lagu Joget Kenangan Manis dan 'Corazon Espinado' gubahan lagunya menjadi. Nyanyain Jac dan Iqwal juga amat bagus walaupun Jac mengalami sakit tekak.
Pemuzik dan alat yang dimainkan |
Persembahan diteruskan dengan Medley Santubong dan Sayang Kinabalu (soloist : Leslie anak Eli yang memainkan Sape) dan Joget Irish for Sitar (soloist : Kumaresan yang memainkan Sitar). Jac sekali lagi tampil dengan lagu 'Rolling in The Deep' dan Gemilang. Sangat meremang bila mendengar Jac menyanyikan lagu berhantunya, Gemilang sambil diiringi alunan muzik OTM yang sangan masuk. Bravo to OTM dan Jac.
Cikgu Gamelan saya, En Ku Zahir Ku Ahmad dan kawan saya, Noraishah Kasim |
Untuk segmen terakhir, lagu pertama adalah Medley P.Ramle yang terdiri dari Bujang Lapok, Nujum Pak Belalang dan Hoi Ho Ya Hoi. Apa yang menariknya, pemuzik OTM sendiri menyanyikan lagu Hoi Ho Ya Hoi sambil konduktor mengajak penonton menyanyikan bersama. Diikuti dengan medley asean yang menampilkan lagu-lagu dari Thailand (Sebai-Sebai), Brunei (Adai-Adai), Singapura (Tanjung Katung), Filipina (tak ingat tajuk) dan Indonesia (Begawan Solo). Persembahan diakhiri dengan lagu Bahbola yang merupakan lagu orang asli. Untuk lagu ini sekumpulan masyarakat orang asli dari Pahang turut sama membuat persembahan .
Sepanjang dua jam persembahan konsert Orkestra Tradisional Malaysia ini rasa sangat sekejap. Sepanjang persembahan, kaki turut sama menghentak mengikut muzik yang dimainkan. Terasa rindu saat bermain orkestra semasa di SMSTJ dulu. Gubahan muzik yang ditampilkan sangat menarik terutamanya Medley P.Ramlee dan Medley Asean. Untuk lagu 'Somewhere' dan 'Rolling in The Deep', banyak ruang boleh diperbaiki untuk memantapkan lagi persembahan tersebut. Walaubagaimanapun jika dibandingkan dengan persembahan di Istana Budaya tahun lepas, persembahan di Istana Budaya lebih menarik. Mungkin disebabkan jumlah pemuzik semasa di Istana Budaya lebih ramai. Secara keseluruhannya persembahan mencapai tahap antarabangsa. Tidak malu jika OTM ini dibawa ke luar negara. Tahniah sekali lagi untuk Istana Budaya kerana berjaya mewujudkan OTM ini. Tak sabar untuk melihat persembahan seterusnya dari mereka.
Nota Kaki
1. MPO memperkenalkan 'dress code' baru iaitu 'smart casual'. Jadinya tak perlu la berkot atau berbaju batik sekarang.
2. Baru lepas tengok persembahan zapin oleh YWJ. Sok2 update ye.
3. Gambar kebanyakannya amik dari poster kat luar je kecuali gambar tiket ngan gambar dalam dewan. Itu pun sebelum kene sound ngan pekerja DFP. huhuhuh...